KUALA LUMPUR - Sudah tiba masanya bagi dasar pengembangan fiskal dilaksanakan sekarang bagi melindungi rakyat serta ekonomi yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan Malaysia tidak terkecuali menghadapi kesukaran itu dan setiap negara bertindak menyuntik dana ke dalam ekonomi masing-masing demi mengharungi cabaran tidak dijangkakan akibat penularan virus tersebut.
"Terdapat banyak (manfaat) yang boleh dilakukan oleh aspek pengembangan monetari ini. Sehubungan itu, dasar pengembangan fiskal itu menjadi kunci membantu rakyat dan ekonomi...apabila anda membantu rakyat dan industri, maka ekonomi itu akan meningkat,” kata beliau dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Setakat ini, Malaysia mencatatkan sejumlah 2,161 kes Covid-19 manakala angka kematian terkumpul adalah 26 orang manakala di peringkat global, lebih 460,000 kes jangkitannya disahkan di kira-kira 200 negara dengan jumlah kematian melepasi 21,000 orang.
Malaysia telah memulakan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama empat minggu bermula 18 Mac lepas.
Bagaimanapun di peringkat dunia kerajaan negara terbabit sama ada memilih sekatan pergerakan seperti Malaysia atau melaksanakan perintah berkurung sepenunhya dalam usaha membendung penularan virus tersebut.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul yang merupakan ahli perbankan sebelum menggalas tugas menerajui Kementerian Kewangan, berkata dasar pengembangan itu tidak bermakna kerajaan melangkaui kemampuannya walaupun defisit fiskal tahun ini diunjurkan dalam lingkungan 4.0 peratus.
"Berdasarkan apa yang berlaku pada hari ini (di peringkat global), menerusi gabungan rangsangan ekonomi dan kelembapan ekonomi, kita mengandaikan dapat mencatat defisit sekitar 4.0 peratus berbanding unjuran awal defisit Belanjawan 2020 pada 3.2 peratus (daripada Keluaran Dalam Negara Kasar),
"(Bagaimanapun) kita menumpukan aspek disiplin fiskal. Secara keseluruhannya, suntikan fiskal secara langsung (dalam pakej rangsangan ekonomi) adalah RM25 bilion; manakala lainnya daripada agensi kerajaan dan pihak berkaitan dalam ekosistem kerajaan,” katanya ketika memperincikan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang diumumkan petang semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Pakej rangsangan Prihatin RM250 bilion luar biasa: Penganalisis
Daripada jumlah itu, termasuk RM20 bilion dalam pakej yang diumumkan sebelum ini, kerajaan akan menyalurkan sejumlah RM128 bilion bagi melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi menyokong perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM2 bilion bagi memperkukuh ekonomi negara.
"Apa yang bagus mengenai negara ini adalah kedudukan fiskal kita yang amat kukuh.
"Kita memperoleh wang secara dasarnya daripada dana yang kita ada dalam kerajaan dan beberapa pinjaman. Semua pinjaman adalah daripada tempatan kerana adanya mudah tunai yang lebih daripada cukup,” katanya.
Tengku Zafrul, yang baru sahaja mengambil alih portfolio itu dalam tempoh 17 hari lepas juga berkata tiada pinjaman dibuat untuk membiayai perbelanjaan mengurus.
"Tumpuan kita adalah menguruskan ekonomi ini secara bertanggungjawab. Satu perkara yang kita amat tekankan adalah disiplin fiskal,” katanya.
Elemen itu, digabungkan bersama kedudukan mudah tunai yang amat kukuh, memastikan kerajaan dapat menyediakan peruntukan menerusi pakej rangsangan ekonomi.
Dalam perkembangan yang sama, Tengku Zafrul berkata, buat masa ini Belanjawan 2020 tidak perlu diubah suai.
"Beberapa projek besar perlu diteruskan malah kini lebih banyak lagi untuk memacu ekonomi ini. Bagi mempercepatkan usaha tersebut kita telah memaklumkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terus membuat perbelanjaan dan bergerak pantas.
"Sekiranya kita menggabungkan semua perbelanjaan modal GLC ia berjumlah kira-kira RM30 bilion untuk memacu dan merangsangkan ekonomi ini,” katanya
Tengku Zafrul juga menekankan walaupun kedudukan fiskal masih baik, namun kerajaan juga perlu menunjukkan hasil daripada suntikan modal tersebut.
Kuncinya adalah pelaksanaan dan penyampaian, memberi wang kepada golongan rakyat yang tepat untuk mereka membelanjakan wang tersebut sekali gus merangsangkan ekonomi.
Kementerian Kewangan menerusi Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) akan memantau dan memastikan pakej PRIHATIN RM250 bilion mencapai semua golongan itu.
Pakej ini juga menumpukan pengekalan pekerjaan dan menyediakan sokongan yang cukup untuk tempoh enam bulan akan datang.
Bagaimanapun untuk memastikan semua yang dirancang ini berhasil, semua pihak perlu memastikan seluruh rakyat kekal berada di rumah untuk dua minggu akan datang, katanya. - Bernama