Subsidi upah RM600 diberi menerusi majikan

Iklan
Saravanan

SHAH ALAM - Bantuan di bawah Program Subsidi Upah sebanyak RM600 sebulan akan diberi menerusi majikan kepada pekerja swasta yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus sejak Januari lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihak majikan perlu membuat tuntutan bantuan yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu bagi pihak pekerja mereka.

Iklan
Iklan

"Pihak majikan yang menuntut tidak dibenarkan membuang pekerja, memotong gaji mahupun mengarahkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan.

"Inisiatif Program Subsidi Upah akan berkuat kuasa mulai 1 April 2020," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Program berkenaan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) semalam.

Saravanan berkata, bagi melaksanakan program terbabit, sebanyak RM5.9 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Sumber Manusia melalui Sistem Insurans Pekerjaan Perkeso yang akan memberi manfaat kepada seramai 3.3 juta pekerja swasta di negara ini.

Iklan

"Sukacita saya ingin menjelaskan di sini dan bagi mengelakkan kekeliruan, Program Subsidi Upah ini juga adalah penambahbaikan dan perluasan kepada Program Pengekalan Pekerjaan (Employment Retention Program-ERP) yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi pada 16 Mac lalu," katanya.

Katanya, sebarang pertanyaan mengenai perkara itu boleh dihantar kepada perkeso@perkeso.gov.my selain aduan dan pertanyaan juga boleh diajukan menerusi facebook.com/perkeso.official.