KANGAR - Seramai 28 individu lagi ditahan reman akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar Arau dan Kangar.
Ketua Polis Daerah Arau Superintenden Nanda Maarof berkata, perintah reman selama empat hari bermula hari ini ke atas 10 individu berusia 21 hingga 32 tahun.
Katanya, perintah reman kepada mereka yang ditahan di Arau itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kangar, Monica Joseph Gaisah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, seramai 18 individu berusia antara 16 hingga 45 tahun termasuk seorang warga Indonesia yang ditahan di Kangar dibebaskan dengan jaminan polis dan dikenakan denda.
Kesemua mereka dikesan melakukan kesalahan melanggar PKP di beberapa lokasi awam dan premis perniagaan disiasat di bawah pelbagai kesalahan mengikut Peraturan 7 kurungan 1 Peraturan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Setakat ini, 30 individu telah ditahan di seluruh Perlis atas kesalahan melanggar PKP termasuk dua lelaki yang menjadi individu pertama direman di Perlis semalam.
Sebelum ini, seorang peruncit dan pelanggannya dilaporkan direman dua hari selepas didapati gagal mematuhi PKP apabila gagal memberi alasan munasabah selepas didapati berada di sebuah kedai runcit di Kampung Kolam kira-kira jam 12.15 tengah malam.