Petugas kesihatan, keselamatan di Perlis terima elaun khas

Iklan
Azlan Man

KANGAR - Kerajaan negeri mengumumkan insentif tambahan untuk barisan hadapan sektor kesihatan dan petugas agensi keselamatan di Perlis.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri ini akan menerima tambahan elaun khas secara one off sebanyak RM400.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, barisan petugas agensi keselamatan seperti polis, Rela dan tentera turut akan menerima bayaran sebanyak RM200.

"Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan bantuan RM100 dalam bentuk makanan asas kepada 35,000 keluarga di Perlis dengan tambahan RM50 kepada bayi yang berusia di bawah tiga tahun," katanya.

Iklan

"Kita turut menyalurkan bantuan RM100 kepada 1,647 pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Malaysia Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis dan Institut Perguruan Perlis yang masih berada institusi pengajian masing-masing dan tidak balik rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis semalam.

Selain itu Azlan berkata, sebanyak 20 meter padu air pertama akan diberikan percuma kepada setiap pengguna berdaftar di bawah Syarikat Air Perlis (SAP) untuk April depan.

Iklan

Beliau berharap bantuan diberikan dapat memberi manfaat dan meringankan beban kira-kira 250,000 rakyat Perlis, yang mana mereka boleh merujuk kepada Pusat Khidmat DUN masing-masing untuk menerima bantuan itu.

Dalam perkembangan sama katanya, Pusat Khidmat yang memerlukan kakitangan tambahan akan diberikan kelonggaran mengambil tiga pekerja sambilan dengan elaun harian RM50 sehari sehingga PKP selesai.

"Kita menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja sukarela untuk bekerja di pusat khidmat DUN untuk penyampaian barangan kepada penduduk," katanya.