Kebakaran Behrang Stesen berulang kembali selepas 51 tahun

Iklan
Kejadian kebakaran telah memusnahkan 11 kedai di Jalan Besar, Behrang Stesen semalam. Foto: Khusairi Talib.

TANJUNG MALIM - Penduduk pekan kecil Behrang Stesen di sini malam tadi, gempar apabila deretan 11 kedai yang dibina semula pada tahun 1970 itu musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian jam 12.22 tengah malam itu, kedai dua tingkat berstruktur kayu dan batu yang dibina semula pada tahun 1970 itu musnah 70 peratus.

Iklan
Iklan

Kebakaran membabitkan kesemua kedai tersebut berulang kembali selepas 51 tahun ia dibina dan kini, menjejaskan empat peniaga yang masih beroperasi termasuk kedai runcit dan sekolah memandu..

Deretan kedai itu pernah musnah dalam kebakaran pada tahun 1969 membabitkan kedua-dua deretan di jalan tersebut.

Iklan

Kejadian itu masih diingati oleh seorang penduduk, Hong Chong Yeong, 65, kerana insiden itu telah melumpuhkan sementara aktiviti perniagaan ketika zaman kegemilangan pekan itu.

Pekan Kecil Behrang Stesen pernah melalui zaman kegemilangan 50 tahun lalu.

Menurutnya, pekan itu sering menjadi tumpuan penduduk termasuk dari Hulu Selangor yang tinggal di sempadan untuk membeli-belah.

Iklan

"Saya masa itu berusia 14 tahun baru balik dari tengok wayang di Tanjung Malim. Dalam jam 2 petang itulah saya lihat api besar membakar semua kedai, semua habis.

"Selepas kejadian itu, penduduk susah mahu beli barang. Pekan ini dekat dengan Selangor, orang ramai seberang sungai datang beli barang kerana dekat. Bila semua kedai terbakar, orang kampung kena jalan jauh pergi Tanjung Malim," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kejadian kebakaran telah memusnahkan 1@ kedai di Behrang Stesen semalam.


Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman membabitkan 11 kedai di Behrang Stesen.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, walaupun pekan kecil ini agak terpencil, ia masih mengekalkan wajah asal dan klasik meskipun pembangunan pesat berlaku di bandar berhampiran.

"Kejadian ini sama seperti kejadian waktu saya kecil. Ketika itu kedai-kedai ini sepenuhnya diperbuat daripada kayu. Saya berbasikal dari Felda Sungai Behrang hendak lihat sisa kebakaran.

"Seperti hari ini (semalam), kesemua tinggal bahagian bawah manakala tingkat atas hanya sisa kayu terbakar," katanya ketika meninjau lokasi kebakaran di sini semalam.

Sementara itu, Ketua BBP Tanjung Malim, Muhammad Husaini Mohamad Zin berkata, seramai 45 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Slim River, Bidor dan Kuala Kubu Bharu terlibat dalam operasi pemadaman tersebut.

Sebahagian kedai musnah di Behrang Stesen.

Katanya, operasi itu turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village, Kepong dan Pekan Baru.

"Kami menjalankan pemadaman dengan menggunakan air dari tangki jentera dan pili bomba.

"Api berjaya dikawal pada jam 4.10 pagi. Struktur bahagian atas yang diperbuat daripada papan menyebabkan api mudah merebak hingga memusnahkan keseluruhan bahagian atas kedai terbabit,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Menurutnya, dua kedai sahaja berjaya diselamatkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.