PUTRAJAYA - Seramai 86 rakyat Malaysia yang terkandas di Kaherah, Mesir akan dibawa pulang dengan menaiki pesawat sewaan khas oleh kerajaan Brunei esok.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, sebelum ini Wisma Putra mengumumkan hanya 51 rakyat Malaysia akan dibawa pulang, bagaimanapun kerajaan Brunei bermurah hati untuk menambah bilangan tersebut menjadikan jumlah terkini seramai 86 orang.
Menurutnya, kesemua mereka akan dibawa pulang pada hari sama sebaik tiba di Brunei dengan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.25 pagi esok.
"Dengan mengambil kira hubungan dua hala yang istimewa di antara Malaysia dan Brunei, kerajaan juga bersetuju untuk membawa pulang 142 warganegara Brunei yang terkandas di Malaysia dengan menaiki pesawat khas yang sama.
"Sekali lagi kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Brunei di atas keprihatinan dan kesudian untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di Kaherah,” katanya ketika memaklumkan perkembangan terkini proses repatriasi rakyat Malaysia dari India, Mesir dan Maldives di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Kamarudin turut memaklumkan satu lagi berita gembira apabila 18 rakyat Malaysia yang terkandas di Maldives akan dibawa pulang melalui usaha sama dengan pihak syarikat Weststar Aviation.
"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Weststar Aviation di atas kesudian untuk membantu kepulangan kumpulan rakyat Malaysia ini, di mana kos penerbangan ini dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tersebut.
"Wisma Putra sentiasa prihatin di atas kesulitan yang dihadapi oleh warganegara Malaysia yang terkandas di luar negara akibat penutupan sempadan negara luar serta pembatalan penerbangan komersial,” katanya.