PUTRAJAYA - Wisma Putra mengesahkan seramai 3,616 rakyat Malaysia masih terkandas di 58 buah negara setelah kebanyakan negara terus melaksanakan kawalan sempadan termasuk pembatalan penerbangan antarabangsa bagi mengekang penularan Covid-19.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, daripada jumlah itu seramai 1,988 rakyat Malaysia masih terkandas di India melibatkan 916 orang di Chennai, Trichy (523), New Delhi (328), Amritsar (173) dan 48 orang di Mumbai.
Menurutnya, Wisma Putra sentiasa prihatin kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat penutupan sempadan negara luar serta pembatalan penerbangan komersial.
"Mereka yang terkandas ini kebetulan berada di luar negara bagi tujuan kerja, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab seperti itu dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia.
"Bagaimanapun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia disebabkan oleh sekatan -sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya ketika memaklumkan perkembangan terkini Proses Repatriasi rakyat Malaysia dari India, Mesir dan Maldives di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang juga Timbalan Presiden Malaysian Indian Congress (MIC).
Mengulas lanjut, Kamarudin turut memaklumkan bahawa MIC sekali lagi telah bersetuju untuk membiayai 12 penerbangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di New Delhi, Chennai, Mumbai, Trichy dan Amritsar.
Katanya, kerajaan turut mengucapkan penghargaan atas persetujuan pihak MIC dalam memudahcara urusan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara, termasuk di India dan Bangladesh baru-baru ini.
"Kita berharap agar kerjasama erat seperti ini dapat diteruskan dalam memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara selamat dibawa pulang ke tanah air.
"Proses repatriasi tersebut dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa terdekat, selepas dimuktamadkan semua urusan berkaitan tempahan dan kelulusan untuk mendarat,” katanya.
Dalam pada itu, Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19, Kementerian Luar Negeri turut mengharapkan agar rakyat Malaysia kekal tenang, patuh kepada arahan kerajaan tempatan dan berhubung dengan Perwakilan - Perwakilan Malaysia di sana.
"Saya juga ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada Perwakilan- Perwakilan Malaysia di luar negara serta Kedutaan asing di Malaysia yang terlibat secara langsung dalam memastikan proses repatriasi dari luar negara dan keluar dari Malaysia berjalan dengan lancar.
"Dengan kerjasama Perwakilan-Perwakilan Malaysia di luar negara, Wisma Putra akan berusaha untuk mencari alternatif yang terbaik bagi menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia di luar negara,” katanya.