SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mendedahkan terdapat sebilangan pengunjung masih mengabaikan aspek keselamatan dengan tidak memakai topeng muka dan membawa anak kecil ketika membeli barangan keperluan mereka di pasar.
Menerusi kemas kini di laman Facebook rasminya, MBPJ berkata, tindakan pihak terlibat hanya akan mengundang risiko bahaya dan menyukarkan usaha bagi membasmi penularan wabak Covid-19 di negara ini.
"Pada hari minggu, kesesakan orang di pasar awam dilihat bertambah seolah-olah masyarakat tiada kesedaran untuk menyahut seruan kerajaan supaya duduk di rumah," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu sehingga 14 April depan.
Pelaksanaan itu antara usaha kerajaan dalam menangani rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini yang semakin membimbangkan.
Dalam pada itu, MBPJ memaklumkan kerja-kerja pemantauan di pasar-pasar awam turut dilaksanakan setiap hari oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran sebagai usaha menangani wabak itu.
"Antara usaha yang telah dilakukan ialah membuat tanda jarak sosial satu meter di lantai pasar, meletakkan poster pendidikan kesihatan, mengambil bacaan suhu badan pengunjung dan memastikan pengunjung tidak bersesak.
"Pembasmian kuman di pasar-pasar awam juga turut dilakukan," katanya.