SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) membuat penjadualan semula peperiksaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).
KPM dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, penjadualan semula itu bagaimanapun hanya melibatkan peperiksaan di bawah kendalian kementerian tersebut.
Iklan
Iklan
Menurutnya, penjadualan semula dibuat setelah meneliti keadaan semasa dan memastikan semua kurikulum mata pelajaran tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan.
"Ia melibatkan 12 jenis peperiksaan termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bertulis, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bertulis, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester 2, STPM Ulangan 2 dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).
"Sementara itu, enam peperiksaan lagi kekal dengan tarikh asal yang dijadualkan termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) lisan dan bertulis," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, peperiksaan STPM Semester 2 dianjak dari bulan Mei ke November untuk memberi peluang sekolah menguruskan sukatan semester 2 yang tertinggal, manakala peperiksaan STPM Ulangan Semester 2 dianjak ke bulan Mac 2021.
"Sebarang pindaan jadual akan dimaklumkan oleh KPM dan untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan Covid-19 KPM di talian 03-8884 9383/ 8884 9325/ 8884 9401 dan 8888 6749," katanya.