JOHOR BAHRU - Kenyataan berhubung penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dikeluarkan kerajaan hari ini belum mencukupi.
Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Md Shah berkata, ia kerana kenyataan akhbar yang dikeluarkan itu masih belum memberi jaminan kepada nasib bangsa Melayu dan Islam di negara ini.
"Kenyataan akhbar yang hanya ditulis atas kertas boleh sahaja ditarik balik oleh mana-mana pihak dan tidak memberi jaminan kukuh ICERD itu benar-benar tidak akan dilaksanakan di bumi bertuah ini.
"Jangan anggap semua perkara dapat diselesaikan dengan hanya mengeluarkan sehelai kenyataan akhbar dan mengharapkan kami semua terus duduk berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Hairi berkata, untuk menyelesaikan kekeliruan serta memberi jaminan kukuh berhubung perkara itu, seharusnya ia perlu dibawa ke Penyataan Rasmi (Handsard) Parlimen.
"Kami mahu kenyataan ini dibawa ke Penyataan Rasmi (Handsard) Parlimen supaya ia benar-benar memberi jaminan kepada seluruh rakyat terutama beragama Islam di negara ini.
"Ia juga sekali gus menutup mulut pihak-pihak yang selama ini cuba membangkitkan dan mencuit isu atau perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Jabatan Perdana Menteri hari ini, mengeluarkan satu kenyataan yang mana telah menolak ratifikasi ICERD.