Gardenia tingkat pengeluaran 2.2 juta roti sehari

Iklan
Gardenia - Foto sumber internet

SHAH ALAM - Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd telah meningkatkan pengeluarannya ke tahap 2.2 juta buku roti sehari menerusi lima buah kilangnya yang beroperasi selama 24 jam.

Pengurus Besar Kanannya, Desmond Tan berkata, pengeluaran berkenaan merupakan penambahan sebanyak lima peratus dari jumlah pengeluaran sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Iklan
Iklan

"Bekalan ini mampu menampung sebanyak 60 peratus daripada permintaan roti dari seluruh Semenanjung Malaysia dengan jenama lain turut mengalami permintaan yang tinggi sejak PKP dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid ke kilang itu di sini hari ini.

Katanya, walaupun berlaku peningkatan kadar pengeluaran roti, pihaknya sentiasa mengikut piawaian yang ditetapkan termasuk aspek kebersihan, penghantaran dan pengurusan roti yang telah tamat tempoh.

Iklan
Iklan

Sementara itu, Rosol bersetuju agar peruncit melaksanakan pembelian roti terhad secara kendiri mengikut keperluan lokaliti masing-masing demi menjaga kebaikan pengguna yang lain.- Bernama