CYBERJAYA -"Bukan mudah kerja menjadi penghantar makanan, terima kasih."
Kata-kata tersebut dituturkan seorang wanita terhadap seorang penghantar makanan sebagai menghargai peranan mereka dalam memberi perkhidmatan kepada pengguna apatah lagi dalam keadaan masyarakat di negara ini perlu 'duduk di rumah diam-diam'.
Melalui perkongsian dalam Facebook Chong Ching Yen, wanita dari Puchong itu berkongsi kisah dia terjumpa dengan 'abang GrabFood' di Cyberjaya itu sedang menolak motosikal yang kehabisan minyak ketika hujan.
Simpati dengan keadaan itu, dia bertindak memberhentikan keretanya dan menawarkan bantuan kepada lelaki berkenaan, namun lelaki itu menolak sebelum akur dengan bantuan Ching Yen selepas memikirkan stesen minyak masih jauh.
Ching Yen memandu ke stesen minyak berdekatan dan mengisi petrol ke dalam botol minuman sebelum berpatah semula untuk bantu lelaki berkenaan.
Sambil lelaki itu mengisi petrol, dia turut memayungkannya.
Sebelum beredar, lelaki itu menghulurkan wang RM10 kepadanya, namun dia menolak kerana ikhlas membantu.
Perkongsian Cheng Yen menghargai kesungguhan dan kesanggupan abang GrabFood mencari rezeki diberi pujian oleh netizen dan penghantar makanan yang lain.
"Kadang kita tak minta 'nama' ataupun 'hadiah' dari masyarakat tapi cukuplah hargai setiap titik peluh dan perjuangan food rider. Terima kasih banyak bagi yang memahami kami," kata Muhammad Rafiq.
Katas Asri Anwar,"Terbaik dan terima kasih kerana sikap keprihatinan anda sekali lagi terbaik bos."