JAIS seru umat Islam sertai program 'Rakyat Selangor Berdoa'

Iklan
Mohd Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM - Umat Islam di negeri ini diseru menyertai program 'Rakyat Selangor Berdoa' pada Isnin dan Khamis depan bagi menzahirkan ikhtiar memohon perlindungan ALLAH S.W.T daripada ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad berkata, program berzikir dan berdoa itu akan dilaksanakan di rumah masing-masing #stayathome pada 8.50 malam selepas solat Isyak.

Iklan
Iklan

"Para imam di masjid dan surau pula akan mengalunkan bacaan zikir dan doa menggunakan pembesar suara tanpa kehadiran jemaah di masjid dan surau," menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, umat Islam yang ingin mengikuti bacaan zikir dan doa boleh menontonnya secara langsung di laman Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.

Iklan

"JAIS menyeru agar umat Islam di Selangor sama-sama berzikir dan berdoa agar diberikan kekuatan mental, fizikal dan kesabaran tinggi terutama kepada petugas barisan hadapan serta pemimpin negara yang telah bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat negara ini daripada wabak Covid-19," katanya.

Mohd Shahzihan berkata, JAIS juga menyeru umat Islam di negeri itu agar mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara dan menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan untuk beribadat bersama-sama keluarga. - Bernama

Iklan