19 lelaki dicekup ketika tunggu bekalan air ketum

Iklan
Seramai 19 lelaki dicekup selepas berkumpul di bangsal nelayan bagi menunggu bekalan air ketum di Butterworth tadi.

BUTTERWORTH - Seramai 19 lelaki ditahan ketika sedang berkumpul menunggu bekalan air ketum di di sebuah bangsal nelayan di Kampung Contoh Bagan Ajam, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penahanan dibuat setelah kesemua mereka didapati ingkar terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun telah diberi amaran kali pertama untuk pulang ke rumah masing-masing jam 4.45 petang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua lelaki ditahan itu berusia lingkungan 23 hingga 59 tahun.

"Setelah diberi amaran (kali pertama), mereka akur lalu beredar dari tempat tersebut.

Iklan

"Bagaimanapun, polis sekali lagi menerima aduan bahawa kumpulan tersebut berkumpul semula selepas polis beredar. Sekali lagi polis ke lokasi lalu bertindak menahan mereka," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk siasatan lanjut.

Iklan

Berdasarkan hasil soal siasat katanya, mereka mengaku melepak di bangsal itu bagi menunggu bekalan air ketum untuk diminum.

"Lokasi itu adalah bangsal tempat nelayan berkumpul di tepi laut, namun pada waktu serbuan dibuat, ia bukan waktu nelayan naik ke laut untuk membawa hasil.

"Semakan rekod terhadap semua tangkapan didapati tiada kesalahan lampau dan hasil ujian air kencing mereka juga negatif," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Peraturan-peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2020.

Beliau berkata, kesemua lelaki tersebut akan direman di Mahkamah Butterworrh pada jam 10 pagi esok.

Sementara itu, Noorzainy turut mengesahkan video berdurasi 22 saat yang memaparkan sebuah lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa tangkapan tersebut yang tular di beberapa laman media sosial adalah benar.