Pasar Sri Aman diarah tutup tiga hari

Iklan
Penguatkuasa MBPP menutup Pasar Sri Aman di Relau kerana gagal mematuhi PKP semalam. - Foto: FB MBPP
GEORGETOWN- Pasar Sri Aman di Relau di sini yang diarahkan menutup operasinya serta merta selama tiga hari bermula semalam kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) biarpun sudah diberi nasihat serta amaran.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) terpaksa bertindak tegas selepas nasihat dan amaran yang diberikan sebelum ini tidak diendahkan.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan kesalahan tersebut kerana ia melibatkan keselamatan kesihatan awam.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, kerajaan negeri telah menyatakan bahawa keutamaan kita pada setiap masalah adalah keselamatan kesihatan orang ramai.

"Mereka perlu mematuhi beberapa langkah antaranya melakukan penjarakan sosial, hanya satu pintu pasar sahaja dibuka, menghadkan pembeli masuk ke dalam pasar dan menyediakan sanitizer.

"Bagaimanapun, setelah diberi nasihat serta amaran, Pasar Sri Aman didapati masih ingkar. Mereka tidak mematuhi semua langkah yang kerajaan negeri dan MBPP arahkan. Oleh demikian, kita mengarahkan agar pasar ini ditutup serta merta selama tiga hari," katanya kepada media di pekarangan Pasar Sri Aman, Relau pagi tadi.

Iklan
Jagdeep Singh Deo

Tambahnya, hanya pasar yang mempunyai 20 gerai itu sahaja diarahkan tutup manakala medan selera masih dibenarkan seperti biasa.

"Saya memberi amaran kepada semua pasar awam agar mematuhi arahan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Jika tidak patuhi, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sama. Jangan main-main, ini soal keselamatan kesihatan awam.

Iklan

"Saya tahu, ini satu keputusan yang tidak boleh diterima tetapi keselamatan awam lebih penting. Saya harap semua faham tetapi ini tanggungjawab kerajaan negeri. Pulau Pinang sudah mencapai 99 peratus pematuhan PKP. Saya harap semua pasar awam terus bekerjasama agar PKP dipatuhi untuk kebaikan semua," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, pihaknya berharap agar pasar awam lain mengambil ikhtibar terhadap tindakan yang diambil ke atas Pasar Sri Aman tersebut.

"Orang awam terutamanya peniaga perlu mematuhi arahan PKP ini. Keputusan menutup pasar ini amat berat untuk MBPP laksanakan tetapi ia untuk kepentingan bersama.

"Saya harap pasar lain ambil ikhtibar. Kita akan lihat selepas tiga hari penutupan ini, jika berlaku lagi perkara sama, tindakan selanjutnya akan diambil.

"Di tempat lain, pasukan Skuad Khas Covid-19 sentiasa buat pemantauan. Jika ada yang degil, tindakan akan diambil. Seperti penjaja sayur tepi jalan di Pasar Jelutong, sebelum ini kita benarkan kerana tiada gerai sayur di dalam pasar, namun kerana mereka tidak mematuhi arahan PKP, maka operasi mereka akan dihentikan bermula esok," katanya.

Tambahnya, MBPP akan mengambil tindakan setiap hari sepanjang tempoh PKP ini sehingga 14 April depan.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud meminta agar peniaga dan pembeli mengubah sikap dalam urusan jual beli sepanjang PKP dilaksanakan.

"Pembeli jangan pilih banyak-banyak sangat. Tentukan siap-siap apa yang nak dibeli supaya barisan menunggu tidak panjang.

"Peniaga pula, ubah sikit cara jualan. Timbang siap-siap, dalam kuantiti sekilogram, dua kilogram atau lima kilogram. Pembeli datang, terus saja jual. Dengan cara itu, ia cepat dan tidak mengambil masa yang lama," katanya.