Sidang khas Parlimen wajar: Aziz Bari

Iklan
Dr Abdul Aziz Bari

IPOH - Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar diadakan.

Pakar Perlembagaan yang juga bekas Exco Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, jika tidak kerana pandemik koronavirus (Covid-19), sidang tersebut perlu kerana sistem negara berasaskan demokrasi berperlembagaan.

Iklan
Iklan

Naib Pengerusi DAP Perak itu berkata, sistem pentadbiran negara yang bermodelkan United Kingdom tidak sama dengan sistem pemerintahan berpresiden seperti diamalkan di Amerika Syarikat (AS).

"Di AS selepas menang pilihan raya, seseorang Presiden tidak perlu bekerja dengan Kongres iaitu dewan perundangan dalam sistem itu. Sebab itu walaupun pakej rangsangan dilaporkan sangat besar melebih AS$ 2 trilion, ia hanya memerlukan perintah Presiden sahaja.

Iklan

"Tetapi negara Westminster berbeza. Hayat dan kelangsungan cabang eksekutif perlu sahkan oleh Parlimen. Kerajaan boleh tumbang pada bila-bila masa, mungkin sehari selepas dilantik," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang mahu kerajaan memanggil Sidang Khas Parlimen selama dua hari bagi membincangkan pakej rangsangan ekonomi tersebut.

Iklan

Abdul Aziz bagaimanapun berkata, terdapat kekeliruan mengenai cadangan menghadkan usul hanya kepada pakej rangsangan dan bukan perkara lain termasuk undi tidak percaya.

"Walaupun sesuatu usul itu bukan dinamakan undi tidak percaya, sekiranya dasar atau keputusan penting diumumkan oleh kerajaan itu ditolak oleh Parlimen maka Muhyiddin bersama Kabinetnya perlu meletakkan jawatan kerana ia merupakan prinsip diamalkan di seluruh negara Komanwel," katanya.