ALOR SETAR - Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pada 19 Mac lalu di kompartmen 16 Hutan Simpan Bukit Enggan, Sik kerana disyaki membakar Hutan Simpan di negeri ini bagi tujuan pertanian.
Pengarah JPNK, Roslan Rani berkata, lelaki tempatan itu ditahan kira-kira jam 5 petang pada hari kejadian dan dipercayai membakar hutan pada waktu tengah hari sebelum disedari anggota yang membuat rondaan pemantauan.
Menurutnya, JPNK kini sedang memburu beberapa lagi individu yang turut disyaki membakar hutan simpan di beberapa kawasan lain.
"Kerjasama bersama bomba mengambil masa selama lima hari untuk memadam kebakaran. Bagaimanapun, satu lagi kebakaran di Hutan Simpan Terenas, Sik dikesan pada 22 Mac.
"Pemadaman sukar dilakukan di lokasi itu kerana bentuk muka bumi bercerun dan tiada punca air. Kaedah bom air terpaksa digunakan dan sehingga kini masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Roslan, mereka yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan membakar pada musim kemarau bagi tujuan menanam pokok getah dan buah-buahan selain berani melanggar perintah Perintah Kawalan Pergerakan.
"Ini kerana sikap sesetengah individu yang tamak dan mahu 'membuka' hutan dengan mudah untuk kepentingan peribadi mereka sahaja," katanya.
Tambahnya, JPNK akan mendakwa individu yang melakukan kebakaran hutan dan mengalu-alukan kerjasama semua pihak bagi menyalurkan maklumat sebarang aktiviti kesalahan berkaitan hutan.