KUALA KETIL - Kelab Motosikal Adik-Beradik dari Padang Serai, Kulim mengambil alternatif membantu meringankan perbelanjaan Rumah Anak Yatim/Miskin Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam dengan sumbangan zakat dan derma, kelmarin.
Pegawai media kelab berkenaan, Abd Manan Md Hassan berkata, pertubuhan itu menempatkan 13 pelajar lelaki dan tiga perempuan.
Menurutnya, ini kunjungan kali kedua mereka ke sini.
"Pertemuan ini bukan sahaja ditunggu-tunggu ahli kelab tetapi anak-anak ini. Mereka gembira dengan kunjungan ini," katanya.
Katanya, pihak kelab seperti biasa turut menyampaikan motivasi kepada mereka.
"Sebelum ini ada pelajar menduduki tempat ke-30 dalam kelas. Hasil motivasi diberikan sebelum ini dia berjaya mendapat tempat ketiga.
"Begitu juga pelajar-pelajar lain yang pencapaian mereka semakin meningkat dalam peperiksaan," katanya.
Abd Manan berkata, hubungan antara kedua-dua pihak diharap kekal terjalin.
Terdahulu, Kelab Motosikal Adik-Beradik disambut oleh anak-anak Pertubuhan Sinar Kasih Darul Aitam dan Pengurusnya, Mohamad Rosli Yahaya.
Abd Manan berkata, pertubuhan berkenaan juga sedang berusaha membina sebuah surau.
Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya menghargai jasa baik kelab Motosikal Adik-Beradik yang tampil membantu mereka.
Untuk sumbangan boleh hubungi Ustaz Rosli Yahaya di talian 019-5976297 atau 012-5886297 atau salurkan melalui Maybank di nombor akaun 552107623942.