KUALA TERENGGANU - Tabung Darah Terengganu akan meluaskan Program Derma Darah Bergerak ke komuniti di setiap daerah bagi menampung keperluan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah, Dr Mohd Muhaimin Kambali berkata, walaupun bekalan darah di Terengganu mencukupi dan berada di paras selamat, bekalan masih diperlukan bagi kes kecemasan.
"Sejak PKP bermula 18 Mac lalu pula, purata hanya lima orang tampil menderma darah setiap hari. Sebab itu bagi meningkatkan pendermaan darah, kita mengatur strategi baru dengan membuat Program Derma Darah Bergerak ke komuniti.
"Bagaimanapun, penggunaan darah menurun dari 50 beg darah sehari sebelum ini kepada 30 beg sahaja kerana kes kemalangan jalan raya yang semakin berkurangan dan penangguhan kes pembedahan elektif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Derma Darah Bergerak di Dewan Sivik Buloh Gading di sini hari ini.
Menurutnya, penggunaan darah turut melibatkan bagi kes pendarahan teruk, ibu bersalin yang mengalami komplikasi pendarahan, pembedahan kecemasan, pesakit kritikal dan pesakit yang bergantung kepada transfusi darah seperti pesakit thalassemia.
"Pendermaan darah sepanjang tempoh PKP dibuat secara terkawal di Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah dan Hospital Kemaman.
"Tabung Darah juga akan membuka tempat pendermaan darah statik di luar kawasan hospital bagi mengurangkan kedatangan orang awam ke hospital yang merupakan pusat saringan dan rawatan Covid-19," katanya.
Katanya, bagaimanapun, sebanyak 10 lokasi dikenal pasti di seluruh Terengganu bagi menambah stok bekalan darah melalui Program Derma Darah Bergerak ke komuniti.
"Kita akan mengambil langkah pencegahan sepanjang program derma darah bagi membendung penularan Covid-19 antaranya mengehadkan 20 penderma bagi setiap sesi.
"Kaedah jarak sosial 1 meter juga dibuat sepanjang proses pendermaan darah manakala saringan penderma darah dan penyakit Covid-19 juga akan dilakukan terlebih dahulu secara panggilan telefon atau melalui borang secara dalam talian," katanya.
Sementara itu, penderma darah, Zulkifli Mohd, 59, berkata, dia mula menderma pada tahun 1995 selepas diminta majikannya sebelum ini.
"Saya bekerja di bank ketika itu. Kali pertama menderma darah sebab dipaksa majikan, tidak sangka pula selepas itu ia menjadi tabiat.
"Sekarang ini, saya menderma sekurang-kurangnya tiga bulan sekali sama ada pergi sendiri ke Hospital Sultanah Nur Zahirah atau mengikuti program derma darah yang dianjurkan," katanya yang tinggal di Batu 6.