BACHOK - Selepas hampir 15 tahun Pasar Beris Kubor Besar beroperasi di bangunan baharu yang sedikit tersorok, ia terus suram.
Ketika ini hanya sembilan peniaga yang masih bertahan walaupun bangunan itu menyediakan lot kedai mencukupi jumlah peniaga asal.
Pemiaga sayur, Zabidah Mamat, 62, berkata, dia masih mampu bertahan kerana dia merupakan satu-satunya peniaga asal Pasar Beris Kubor Besar yang tinggal.
Katanya, dia mempunyai pelanggan tetap yang setia berurus niaga dengannya walaupun tidak ramai.
"Memang suram pasar ni sekarang, tenpat tersorok dan orang ramai boleh membeli barangan keperluan di mana-mana sahaja sekarang.
"Di tepi-tepi jalan orang jual ikan, sayur dan macam-macam lagi, ini sebabnya orang dah tak bertumpu di pasar," katanya.
Pihak berkenaan katanya, perlu mengawal supaya pasar menjadi tumpuan harian penduduk.
Sementara itu, peniaga ayam, Zaidi Yaacob, 60, berkata, berpindah dari jalan besar ke lokasi tersorok di belakang bangunan lain memang berisiko tetapi sebagai peniaga, dia akur dengan arahan pihak berkuasa.
Katanya, sepatutnya pasar dipindahkan ke lokasi lebih baik jika tidak boleh kekal di tapak asal.
"Ada berpuluh-puluh lot di tingkat atas, semua kosong tidak ada peniaga, sekarang ini tingkat bawah sahaja yang digunakan.
"Saya juga akui terpaksa bersaing dengan peniaga tepi jalan, bila stok di luar sana habis barulah orang ramai masuk ke pasar ini.
"Saya tak tahu sampai bila boleh bertahan dengan keadaan ini, hanya bulan puasa sahaja pasar ini ramai orang datang, bulan biasa keadaannya sunyi," katanya.
Katanya, peniaga berharap pihak berkenaan mengambil langkah wajar bagi memastikan pasar berkenaan menjadi tumpuan penduduk seperti suatu masa dahulu.