PUTRAJAYA - Pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bagi golongan B40 adalah berdasarkan pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) dan akan dikreditkan ke akaun masing-masing pada April ini.
Sementara BPN bagi golongan M40 adalah berdasarkan data percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan perlu membuat pendaftaran baru mulai 1 April 2020 menerusi www.hasil.gov.my.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, pembayaran BPN akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada akhir April dan Mei ini mengikut kelayakan ditetapkan.
"Kelayakan bagi pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah yang akan menerima sebanyak RM1,600 dan individu bujang dengan pendapatan RM2,000 ke bawah tidak perlu mengemukakan permohonan baru.
"Pendapatan isi rumah RM4,001 hingga RM8,000 yang akan menerima RM1,000 dan individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000 yang akan menerima RM500 perlu membuat pendaftaran baru dengan pihak LHDNM," katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Kewangan mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan' scammers' yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam memerlukan bantuan Pakej Prihatin ini.
"Penerima disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan jangan memberikan maklumat kepada mana-mana pihak ketiga," ujarnya.
Sehubungan itu, kementerian berterima kasih kepada rakyat kerana telah berkongsi pandangan, teguran dan cadangan mengenai Pakej PRIHATIN menggunakan pelbagai saluran.
"Kementerian melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana), bersedia memastikan bantuan Pakej PRIHATIN disampaikan dengan efisien dan cepat," katanya.
Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.
Jumlah itu termasuk suntikan fiskal sebanyak RM22 bilion, jaminan kerajaan sebanyak RM55 bilion dan lain-lain inisiatif yang mencakupi lebih RM153 bilion.
Daripada keseluruhan jumlah membabitkan RM20 bilion yang telah diumumkan sebelum ini, hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat, RM100 bilion untuk menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana dan RM2.0 bilion untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Dalam pada itu, BPN diperuntukkan sebanyak RM10 bilion untuk rakyat yang layak terdiri daripada golongan B40 dan M40.