Naskhah buat perajurit Covid-19

Iklan
Terima kasih yang tidak terhingga buat semua perajurit perang virus Covid-19. Anda ialah wira kami rakyat Malaysia. -Foto Bernama

BUAT masa ini, dunia seakan-akan gelap dilanda satu virus amat kecil yang boleh menyerang populasi manusia dengan gejala dan simptom demam, batuk dan sukar bernafas. Malaysia turut tidak terkecuali merasakan tempias ini.

Antara yang turut terkesan dalam situasi getir ini ialah mereka yang berjuang membanteras Covid-19. Perajurit yang saya maksudkan ialah mereka yang bertugas di bahagian hadapan melibatkan sektor kesihatan, keselamatan dan perkhidmatan. Mereka ini bertugas bukan sekadar meletakkan nyawa sebagai galang ganti, malah lebih kepada semangat kebersamaan dalam tanggungjawab sosial terhadap negara, agama dan bangsa mereka.

Iklan
Iklan

Pejuang barisan hadapan dalam peperangan menentang Covid-19 juga ialah manusia biasa. Jika masyarakat mengalami tekanan dan gangguan psikologi apabila berhadapan dengan isu itu, pejuang kita turut berhadapan dengan tekanan yang berganda.

Ada antara mereka yang perlu bekerja lebih daripada kebiasaan, berhadapan dengan risiko tinggi dan terpaksa berpisah dengan ahli keluarga. Ada juga dikuarantinkan akibat terkena jangkitan virus itu ketika bertugas.

Iklan

Tekanan

Golongan petugas barisan hadapan adalah golongan yang paling berisiko untuk mendapat gangguan emosi dan psikologi serta mereka adalah antara golongan yang perlu dipantau status psikologikal dan diberi sokongan psikologi yang secukupnya.

Iklan

Mereka memerlukan sokongan emosi yang cukup tinggi daripada kita semua. Bukan penghargaan beribu ringgit atau pemberian takhta dan pangkat yang mereka canang. Mereka hanya mahu rakyat bersikap jujur dan mengikuti segala saranan kerajaan.

Oleh sebab itu, bantuan awal sokongan psikologikal PFA perlu diberikan sebagai keperluan pengurusan emosi dan kesihatan mental petugas barisan hadapan.

Apabila sesuatu krisis atau trauma terjadi, setiap orang pasti akan merasainya. Namun, reaksi dan emosi pasti berbeza setiap individu.

Jika seseorang mengalami perubahan emosi itu, seseorang akan cenderung untuk menunjukkan tanda-tanda seperti:

Cepat berasa letih dan tidak bertenaga;

Perasaan pesimistik, putus asa dan bersalah;

Gangguan tidur, sama ada sukar untuk tidur atau tidur secara berlebihan;

Gangguan tiada selera makan dan terlebih makan;

Perasaan tidak tenteram dan mudah marah, resah gelisah;

Kurang daya tumpuan dan ingatan menyebabkan prestasi kerja merosot;

Mudah berasa cemas atau takut;

Mudah menangis dengan kerap dan hilang rasa terhadap minat-minat mereka sebelum ini.

Dengan tanda-tanda seperti itu, mereka yang berada di barisan hadapan perlu menguruskan emosi dengan betul. Pasukan PFA akan membantu pejuang barisan hadapan untuk menstabilkan emosi. Bagi ahli terapi carakerja, apa yang kami boleh ditawarkan kepada mereka ialah membincangkan isu dan permasalahan yang dihadapi. Banyak tip dan perkara baharu akan dipelajari melalui Pengurusan Tingkahlaku dan Minda mereka. Antaranya kami akan melaksanakan Aktiviti Projection Therapy dan kami akan mengajar mereka teknik-teknik relaksasi.

Selain itu, sokongan moral dan sosial amat penting. Kami akan membantu mereka mengatasi masalah gangguan emosi dengan perkongsian perasaan, solusi kepada permasalahan dan apa yang boleh dipelajari daripada setiap permasalahan yang dijalankan. Antaranya melalui kaedah Teknik Pengurusan Tingkahlaku-Kognitif, Pengurusan Tidur, Mindfulness, dan Emotional Freedom Technique (EFT).

Buat perajurit ini, teruslah berjuang dan bertahan demi masyarakat.

Terima kasih yang tidak terhingga buat semua perajurit perang virus Covid-19. Anda ialah wira kami rakyat Malaysia.

* Tengku Mohd Asri Tengku Makhtar ialah Timbalan Presiden Malaysian Occupational Therapy Association Occupational Therapist