AMERIKA Syarikat (AS) semalam menerima ledakan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) apabila kes positif di negara kuasa besar dunia tersebut telah melepasi angka 124,686 kes, menurut data Johns Hopkins University.
Perkembangan terbaru itu meletakkan AS muncul antara negara yang paling banyak disahkan positif wabak yang boleh membawa maut tersebut.
Dilabelkan sebagai negara yang paling berkuasa di dunia, pastinya ramai yang beranggapan negara di bawah pimpinan Presiden Donald Trump itu akan menggunakan segala kepakaran dan tenaga bagi memastikan AS dapat mengekang penularan wabak itu.
Bagaimanapun, realiti yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya apabila jumlah rakyat yang disahkan positif Covid-19 di AS meningkat dengan begitu mendadak.
Mengikut laporan agensi berita, dalam tempoh 24 jam lalu, negara itu mencatatkan peningkatan kes positif sebanyak lebih 15,000, malah angka kematian juga mencecah hampir 2,000 dengan jumlah 1,991 mangsa.
Turut dilaporkan, angka korban dan jangkitan paling tinggi ialah di New York sebanyak 517 kes kematian, Washington (125 kes kematian) dan New Jersey 86 kematian.
Daripada jumlah 124,686 kes jangkitan di AS, sebanyak 921 pesakit telah sembuh.
Sikap memandang remeh AS, khususnya oleh Trump, dalam menangani wabak maut itu pada peringkat lebih awal dikatakan sebagai punca Covid-19 merebak pantas.
Kritikan kini terarah kepada Trump selepas pemimpin itu dikatakan bersikap sambil lewa dalam mengawal wabak tersebut meskipun rata-rata negara lain bertungkus-lumus mencari penyelesaian bagi menangani pandemik itu.
Ini kerana Trump menganggap bahawa sistem perubatan yang dimiliki AS diyakini mampu melakukan pengujian tepat dalam mengesan wabak tersebut tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Setelah beberapa ketika dan keadaan menjadi buruk, barulah AS mengambil tindakan dengan melakukan perintah berkurung mengikut fasa.
Bagaimanapun, tindakan tersebut dikhabarkan sebagai sudah terlambat kerana rebakkan Covid-19 menular dengan pantas.
Sebuah akhbar yang berpangkalan di United Kingdom (UK), The Guardian dalam laporannya secara jelas menyalahkan Trump kerana menjadi punca mengapa AS teruk dilanda Covid-19.
Laporan yang disiarkan pada 28 Mac yang bertajuk How Trump Failed The Biggest Test of His Life itu mengaitkan ketidakupayaan Trump menangani Covid-19 lebih awal di kala negara lain bertindak segera.
Trump gagal
Menurut The Guardian, kes pertama wabak Covid-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Januari melibatkan seorang lelaki berusia 35 tahun yang baru pulang dari Wuhan, China."Pada hari sama, di Korea Selatan yang terletak kira-kira 5,000 kilometer di Asia turut mengesahkan kes pertama di negara berkenaan.
"Sebuah negara bertindak pantas dan agresif untuk mengasing wabak tersebut.
"Dalam tempoh satu minggu kes pertama yang disahkan, agensi kawalan penyakit Korea Selatan memanggil 20 syarikat swasta untuk memerangi wabak serta membangunkan ujian untuk virus itu dengan kelajuan paling maksimum,” katanya.
Katanya, tindakan itu menggambarkan kesungguhan Korea Selatan memerangi virus yang boleh membawa maut tersebut. Bagaimanapun, tanggapan AS terhadap wabak itu pula sebaliknya.
Dua hari selepas diagnosis pertama di Washington, Trump dalam sesi wawancara dengan CNBC berkata:"Kami mempunyai kawalan penuh. Ia hanyalah seorang yang datang dari China. Ia akan baik-baik saja.”
Seminggu selepas itu, Wall Street Journal menerbitkan artikel pendapat oleh dua orang pegawai dasar kesihatan utama dalam pentadbiran Trump bertajuk Act Now to Prevent an American Epidemic.
Laporan itu turut mengulas, Trump cuba menunjukkan dirinya ‘presiden perang’ di tengah-tengah kekalutan memerangi wabak Covid-19 tetapi secara tidak langsung memburukkan lagi usaha agensi Persekutuan.
"Beliau cuba mengambil kesempatan di atas wabak Covid-19 dengan membuat tugas-tugas khas melantik orang-orang kepercayaannya dan dalam masa yang sama usaha itu memakan diri,” katanya.
Secara jelas laporan yang dibuat The Guardian dan agensi berita yang lain meletakkan kesalahan kepada kerajaan khususnya Trump kerana tidak mendengar pandangan dan mengambil mudah mengenai penularan wabak itu.
Atas kedegilan AS itu jugalah kini sebahagian besar rakyatnya berada dalam kebimbangan. Situasi yang berlaku itu pastinya memberi kesan kepada semua sektor khususnya ekonomi.