Kerjasama antara kementerian pastikan bekalan tidak terjejas

Iklan
Nordin

IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu mempertingkatkan kerjasama melaksanakan segera langkah pengurusan bekalan makanan dan rantaian bekalan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya tidak terjejas.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGrow), Nordin Abdul Malek berkata, masalah lambakan sayur-sayuran tidak terjual dan ikan-ikan yang terpaksa dibuang termasuk kelicinan pergerakan logistik perlu diatasi segera bagi mengekalkan keterjaminan makanan di dalam negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi memastikan bekalan makanan di dalam negara tidak terjejas selain memastikan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dikawal, kerajaan dicadangkan melantik agensi tertentu seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) atau syarikat berkemampuan membekal makanan serta input-input pertanian yang lain.

"Kita perlu melakukan beberapa langkah seperti KKM serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan perlu melihat adanya agensi-agensi besar atau syarikat-syarikat besar seperti PPN dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dengan membenarkan mereka beroperasi untuk menyediakan bekalan makanan, menyediakan input-input pertanian seperti baja, racun yang diperlukan untuk ladang pertanian.

Iklan

"Jadi PPN dan PPK mungkin boleh diberikan kebenaran untuk menggalas tanggungjawab ini dengan prosedur ketat diberikan KKM kepada mereka bagi memastikan keterjaminan makanan di dalam negara," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, melalui cara ini, selain bekalan makanan negara terjamin, golongan B40 yang berada di luar bandar masih boleh bekerja dalam sektor pertanian ketika krisis tersebut dengan pemantauan ketat oleh Kementerian Kesihatan.

Iklan

Beliau berkata, masalah rantaian bekalan juga dapat diatasi dengan menjadikan PPK sebagai pusat pengagihan keperluan makanan tersebut menggunakan kaedah dalam talian sama ada dan barang-barang keperluan itu boleh diambil secara pandu lalu atau tunai semasa hantar (COD).

Nordin berkata, dengan cara itu, bekalan makanan diperoleh semua rakyat sekali gus kerajaan dapat mengawal pergerakan orang ramai ketika krisis ini berlaku.

"Kita juga perlu melihat daripada sekarang akan kepentingan dan bahayanya apabila kita bergantung kepada makanan import kerana ada negara-negara yang tidak mahu lagi mengeksport beras seperti Vietnam selain negara-negara yang menutup sempadan untuk memberi tumpuan kepada bekalan makanan di negara mereka dan tidak mengeksport ke Malaysia.

"Atas sebab itu kita perlu belajar daripada peristiwa ini terhadap dasar keterjaminan makanan dari aspek bagaimana mengurangkan import makanan kita dan mempertingkatkan pengeluaran makanan dalam negara," katanya.

Dalam pada itu, Nordin berkata, dari segi kaedah pengurusan logistik pula apabila berlakunya bencana alam atau krisis besar seperti ini, penglibatan anggota keselamatan seperti tentera dan polis mungkin boleh dipertimbangkan supaya bekalan makanan sampai kepada rakyat dengan selamat.

Menurutnya, walaupun Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) mengakui wujudnya masalah pengurusan jaminan bekalan makanan seluruh dunia akibat perintah kawalan Covid-19, Malaysia perlu mempertingkatkan usaha agar tidak berlaku masalah bekalan makanan tidak mencukupi atau tidak boleh dipasarkan dengan cara tersendiri.