SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui institut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) turut membantu barisan hadapan negara dengan menghasilkan peralatan untuk kegunaan golongan itu.
Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, antara barangan yang dihasilkan termasuk alat perlindungan muka, tukup, sarung kaki dan peralatan perlindungan diri (PPE).
Menurutnya, institusi pendidikan MARA (IPMA) yang terlibat ialah Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, Ledang, Rembau, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah dan MRSM Kubang Pasu menghasilkan alat perlindungan muka dengan menggunakan pencetak 3D untuk disumbangkan kepada beberapa hospital berhampiran.
"Dua pusat Giatmara di Rasah, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Rembau pula berjaya memanfaatkan kemahiran tenaga pengajarnya dalam menghasilkan 50 tukup, 60 pasang sarung kaki dan 350 helai PPE.
"Semua barangan terbabitkan akan disumbangkan kepada Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan dan Hospital Ampang sebagai salah satu pelindung bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azhar berharap sumbangan itu dapat menambah jumlah keperluan untuk kegunaan barisan hadapan negara bagi menangani pandemik Covid-19.
Katanya, selain sumbangan kelengkapan, warga kerja Mara turut menggerakkan sumbangan barangan makanan serta kelengkapan ibadah terutamanya telekung solat untuk barisan hadapan bagi memudahkan urusan mereka ketika menjalankan tugas."Kami turut melancarkan Tabung Mara Prihatin bagi menggalakkan warga kerja menghulurkan sumbangan untuk disalurkan kepada Tabung Covid-19 di peringkat kebangsaan.
"Sumbangan kami ini tidak besar tetapi dengan mengambil kira keadaan semasa yang memerlukan kemahiran dan kepakaran tenaga pengajar TVET yang sedia ada, kami mampu berusaha dan memberi sumbangan kepada negara bagi menangani pandemik ini,” katanya.