PETALING JAYA - Seorang lelaki bukan sahaja merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Tol PJS 2, di sini semalam, malah turut dikesan memiliki lima paket dadah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, tindakan suspek yang memandu kereta jenis Audi merempuh SJR dipercayai kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Menurutnya, rempuhan menyebabkan sebanyak 20 kon, lapan lampu mata arah dan papan tanda pemeriksaan rosak tetapi tidak melibatkan kecederaan.
"Pemeriksaan ke atas suspek menemui lima paket plastik lut sinar berwarna oren disyaki mengandungi dadah ketamin seberat 5.1 gram.
"Polis juga menemui satu plastik lut sinar mengandungi sejumlah wang RM19,082," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Ezanee berkata, suspek yang berusia 23 tahun itu juga disahkan positif methamphetamine dan ketamin selain memiliki rekod lampau berkaitan dadah.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 26(2) Akta Polis 1967," katanya.