JOHOR BAHRU - Ribuan warga Indonesia terkandas di Jeti Feri Stulang Waterfront (JFSW) di sini dan Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) di Pontian berikutan trip perjalanan ke republik itu dikurangkan bagi menghindarkan penularan wabak koronavius (Covid-19).
Hanya empat trip perjalanan dibenarkan dari JFSW ke Batam Center Ferry Terminal, Batam, Indonesia pada jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari berbanding sebelum ini 15 trip sehari dari jam 7.15 pagi hingga 6.30 petang.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, setiap satu feri dibenarkan membawa antara 350 hingga 500 penumpang sahaja atau 70 peratus berbanding kapasiti sebelum ini bagi mengelakkan kesesakan.
"Jumlah penumpang yang ingin balik ke Indonesia mencecah 1,000 hingga 1,500 orang dan hanya dibenarkan balik hanya 350 hingga 500 orang selebihnya diarahkan balik semula ke kediaman masing-masing. Jumlah pengunjung yang masih berada di sekitar jeti lebih kurang 80 orang.
"Pihak pengurusan memaklumkan dijangka ada penambahan satu lagi feri untuk ke Indonesia pada jam 2 petang dengan kapasiti lebih kurang 200 penumpang sahaja," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, keadaan semasa dapat dikawal oleh pihak polis serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan orang ramai tidak perlu bimbang.
Sementara itu di Pontian, ratusan warga Indonesia berkampung di TFAK berikutan tidak dapat meneruskan perjalanan pulang ke Tanjung Balai Karimun Ferry Terminal, Tanjung Balai sejak semalam berikutan dikurangkan dari enam kepada tiga trip sehari.
Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada penduduk Kampung Ayer Masin dan Kukup Laut berkenaan perkara tersebut yang membimbangkan mereka.
"Saya telah hubungi Pegawai Daerah dan Ketua Polis Daerah untuk mencari penyelesaian akibat kebimbangan masyarakat setempat dalam suasana wabak Covid-19 selain petugas Pusat Khidmat Parlimen Tanjung Piai turut berada di sana untuk membantu dan melihat situasi," katanya.
Beliau berkata, hasil perbincangan dengan Pejabat Daerah, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan syarikat pengusaha feri, atas dasar kemanusiaan, mereka ditempatkan di Terminal Bas Kukup sementara menunggu untuk pulang dan JKM menyediakan makanan untuk mereka.