PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan menetapkan harga siling bagi topeng muka di negara ini adalah RM1.50.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menilai semua perkara.
Iklan
Iklan
"Pagi tadi kita dah bincangkan perkara ini dan kita dapati bahawa topeng muka ini tidak banyak dikeluarkan dalam negara tapi kebanyakan diimport dari negara luar.
"Jadi, kita juga terikat dengan harga yang diimport tadi. Oleh itu, mesyuarat bersetuju harga siling topeng muka adalah 1.50 iaitu 50 sen lebih murah daripada harga yang telah ditetapkan lebih awal iaitu RM2," katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahan berkata, kerajaan bagaimanapun akan mengkaji harga produk itu dari semasa ke semasa.
"Jika didapati harga yang dibeli sudah menurun daripada harganya, maka kita mungkin kaji balik dan umum semula harga yang lain," katanya.