SEREMBAN – Tiga lelaki termasuk dua remaja bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan koronavirus (Covid-19).
Dua remaja berkenaan yang berusia 17 tahun dan S Chandramogan,35, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret V Vanita.
Pertuduhan terhadap remaja terbabit dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam daripada menjalankan tugasnya.
Kesalahan itu dilakukan pada 25 Mac 2020 masing-masing di Jalan2/3 Taman Bandar Ekar, Rantau di sini dan di Jalan 2/3 di tepi jalan berhampiran Jalan Persiaran 1, Taman Desa Rhu Sikamat di sini.
Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 20 Mei ini.
Chandramogan yang bekerja sebagai jurukimpal didenda RM1,000, gagal bayar empat bulan penjara atas pertuduhan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7, Peraturan sama.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Rantau Air Kuning, Rantau di sini pada 27 Mac 2020 kira-kira 1.15 pagi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurshazwani Ishak dan Nur Atiqah Sapari dan kesemua tertuduh diwakili Peguam dari Yayasan Biro Guaman Malaysia (YBK), Syed Fadzil Syed Samsuddin.