PEKAN - Sultan Pahang, Sultan Abdullah sebak ketika mengajak rakyat mendoakan kesejahteraan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah yang gering.
Dalam titah itu, baginda mengajak rakyat berdoa kepada ALLAH SWT memohon Sultan Ahmad Shah dilindungi dan dirahmati.
Iklan
Iklan
"Saya memohon agar sekalian rakyat jelata menadah tangan ke hadrat Ilahi, memohon apalah sudi kiranya juga dilindungi dan dirahmati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Mu'adzam Shah," titah baginda sambil kelihatan menyekang air mata.
Baginda bertitah demikian pada titah diraja sempena istiadat pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar di sini hari ini.
Pada titah baginda itu, Sultan Abdullah insaf atas kurniaan ALLAH SWT untuk menjunjung susur galur takhta Kerajaan Pahang yang diriwayatkan sejak 1882.
"Saya turut insaf dan berasa kerdil pula tubuh ini kerana takhta ini diwarisi daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.
"Baginda seorang raja pemerintah yang adil, berbudi luhur bukan kepalang dan dikasihi serta disanjungi oleh setiap lapisan rakyat jelata. Ia akan terpahat segar dalam lipatan sejarah," titah baginda.