KUALA LUMPUR - Seorang pekerja CIMB Group Holdings Bhd disahkan positif koronavirus (Covid-19) dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan.
Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata, mereka yang mempunyai kontak secara langsung dengan pekerja tersebut yang bertugas di pusat panggilan di Menara Southern Bank (MSB) sedang menjalani kuarantin di rumah sehingga diberikan kebenaran oleh petugas perubatan.
Katanya, pusat panggilan itu telah ditutup untuk kerja-kerja pembasmian kuman yang menyeluruh manakala pusat panggilan lain masih terus beroperasi.
"Penutupan sementara pusat panggilan di MSB itu akan memberi kesan kepada jumlah panggilan yang perlu dilayan pagi ini.
"Kami memohon kerjasama daripada semua pelanggan untuk memahami situasi ini dan kami sedang berusaha untuk memastikan pusat panggilan tersebut kembali beroperasi.
"CIMB mempunyai pelan kesinambungan perniagaan untuk ibu pejabat dan cawangan bagi memastikan perkhidmatan penting dapat dijalankan.
"Kami telah melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk memastikan kesejahteraan pelanggan dan petugas kami,” katanya.
CIMB berkata, langkah-langkah itu termasuklah dasar perisytiharan perjalanan mandatori, kebersihan dan penjarakan sosial di ibu pejabat dan cawangan serta sentiasa memantau perkembangan terkini. - Bernama