KUALA LUMPUR - Persatuan Pemandu Van Kuala Lumpur dan Selangor kecewa dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
Pengerusinya, Simon Sim berkata, bantuan itu disifatkan mengabaikan kebajikan dan kepentingan pemandu bas, van dan pemandu pelancong.
Menurutnya, pengumuman itu bercanggah dengan prinsip yang disebut Perdana Menteri iaitu 'no one will be left behind'.
"Persatuan memaklumkan ada lebih 20,000 pemandu bas, van dan pemandu pelancong tetapi golongan ini langsung tidak mendapat manfaat melalui skim ini.
"Sejak Oktober tahun lepas, industri pelancongan mengalami kemerosotan yang serius, keadaan bertambah teruk kini akibat pandemik Covid -19 dan penanguhan Tahun Melawat 2020," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya digesa membantu menyampaikan maklum balas ini kepada Perdana Menteri dan menyalurkan bantuan kepada golongan pemandu ini.
"Kerajaan perlu menyelesaikan perkara berkenaan skim pinjaman atau bantuan dengan lebih efficient, supaya dapat membantu golongan berkenaan dengan segera," katanya.
Pada 27 Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sebanyak RM250 bilion dengan matlamat melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi dalam menghadapi kesan pandemik Covid-19.