KUALA TERENGGANU – Terengganu mewujudkan satu aplikasi bazar Ramadan secara atas talian susulan arahan pembatalan penganjuran bazar di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, aplikasi khas bagi membantu para peniaga bazar Ramadan itu akan dilancarkan Ramadan nanti.
Menurutnya, semua peniaga bazar Ramadan boleh berdaftar dengan aplikasi tersebut yang akan dipantau Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan dilaksanakan oleh 32 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).
"YPU cadangkan kepada peniaga sediakan satu platform bazar Ramadan dalam talian. YPU akan memantau dan setiap Pusat Khidmat DUN akan jadi 'admin' kepada bazar Ramadan online (dalam talian) di tempat masing-masing.
"Semua peniaga setiap bazar boleh berdaftar dengan aplikasi ini dan kita akan sediakan satu penyelesaian lengkap kepada mereka bermula dari membeli hingga kepada penghantaran ke rumah pembeli,” katanya dalam satu sidang akhbat khas hari ini.
Mohd Nurkhuzaini berkata, pihaknya juga mencadangkan aplikasi tersebut menggunakan kaedah bayaran secara online melalui e-wallet bagi mengurangkan transaksi tunai.
Katanya, YPU akan memanggil wakil Pusat Khidmat DUN bagi memberi penerangan proses pelaksanaan aplikasi bazar Ramadan online pada minggu pertama April ini dan membuat ujian penggunaan pada minggu seterusnya sebelum digunakan pada 1 Ramadan nanti.
Sebagai rekod, Terengganu mempunyai 76 lokasi bazar Ramadan di semua daerah dengan melibatkan 7,180 peniaga.
Sinar Harian hari ini melaporkan kerajaan Terengganu mengambil keputusan membatalkan penganjuran bazar Ramadan di semua kawasan PBT pada tahun ini bagi menangani penularan secara total.
Pembatalan itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Terengganu yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, arahan itu dimaklumkan kepada semua PBT berasaskan kepada klasifikasi bazar Ramadan tidak termasuk kategori 'essential services'.