SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik usaha kerajaan dalam menyalurkan peruntukan khusus berjumlah RM100,000 yang disalurkan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang demi menjaga kebajikan rakyat.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz menyifatkan peruntukan itu amat penting sebagai satu pengiktirafan peranan semua pihak tanpa mengira perbezaan latar belakang politik untuk membantu rakyat dalam kesusahan ketika berlaku penularan wabak koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, peruntukan khusus itu juga merupakan satu pengiktirafan kepada hak rakyat yang telah mengundi untuk memilih seseorang wakil rakyat atau Ahli Parlimen secara sah menerusi saluran demokrasi pilihan raya sebelum ini.
"Justeru, ABIM menyeru seluruh Ahli Parlimen tanpa mengira latar untuk memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang ada dengan adil, baik dan cekap berlandaskan garis panduan yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang amalan pembaziran, rasuah, dan diskriminasi dalam pengagihan.
"Malah semua pihak juga perlu meningkatkan kerjasama di antara satu sama lain dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan mengenepikan seketika sebarang perbezaan pandangan politik,” katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN] - PM salur RM100,000 kepada ahli Parlimen pembangkang