Covid-19: MOA bincang nasib pekebun di Cameron Highlands

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian Ahad.

SHAH ALAM - Sektor pertanian dan pelancongan di Cameron Highlands yang dilaporkan terancam angkara koronavirus (Covid-19) mendapat perhatian pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini.

Nasib pekebun mungkin bakal berubah apabila satu mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu diketuai Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilaporkan diadakan petang ini.

Iklan
Iklan

Berdasarkan sumber diperoleh, beberapa isu lain turut dibincangkan berikutan penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya melibatkan perkara di bawah bidang kuasa Kementerian itu.

Sinar Harian difahamkan respon terhadap aduan pekebun pekebun sayur di tanah tinggi itu tidak dapat diberikan dalam kadar segera kerana pihak terbabit perlu mengutamakan beberapa isu dibangkitkan sebelum itu.

Iklan

Namun, perkembangan ini akan dapat memberi sedikit kelegaan kepada lebih 2,300 pekebun sayuran di Cameron Highlands yang menghasilkan lebih 800 tan metrik pengeluaran sayur-sayuran sehari.

Ini kerana, hanya 30 peratus dari jumlah tersebut mampu dijual di pasaran akibat penularan wabak Covid-19 dan PKP yang telah dilanjutkan hingga 14 April ini.

Iklan

Terdahulu, Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Pekebun-Pekebun Sayur Malaysia, Chay Ee Mong berkata, keadaan ekonomi akibat Covid-19 kini mencengkam pekebun sayuran di Cameron Highlands.

Katanya, pekebun-pekebun sayur di tanah tinggi itu mahu tidak mahu memang terpaksa menuai sayur-sayuran di ladang kerana jika tidak, sayur seperti kubis, tomato, sawi dan pak choi akan tua begitu sahaja.

Kata Ee Mong, bagaimanapun permintaan di pasaran jatuh teruk apabila banyak pasar ditutup atau dikurangkan pekerja, kantin atau premis makanan tidak beroperasi dan orang ramai perlu duduk di rumah untuk mematuhi PKP.

Akui Ee Mong, pendek kata, sayur sudah tidak laku dan tidak boleh dipasarkan. Pekebun mengeluarkan 800 tan metrik atau 800,000 kilogram sayur-sayuran sehari, namun hanya 30 peratus mampu dijual di pasaran.

Ekoran kerugian yang dihadapi itu juga membuatkan pekebun di tanah tinggi itu kini berdepan kesukaran untuk membayar gaji pekerja ladang.

Dalam pada itu, menurut Ee Mong, biarpun berdepan dengan kerugian, kesemua pekebun mengambil inisiatif menyertai program khidmat sosial dengan membekalkan sayur-sayuran kepada rumah kebajikan, rumah anak yatim dan rumah orang tua secara percuma.