Nafsu tidak mengenal wabak dan larangan

Iklan
Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan Covid-19. -Foto Bernama

HAMPIR dua minggu berlalu, rutin biasa bagi kebanyakan kita boleh dikatakan berubah hampir 100 peratus.

Segalanya berpunca daripada penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sehingga memaksa kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai tengah malam 18 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Suka atau tidak, itulah hakikat yang terpaksa kita tempuhi untuk tempoh kira-kira dua minggu lagi selepas PKP dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Mungkin selama ini masa yang ada bersama keluarga begitu terhad atas tuntutan tugas demi mencari rezeki tetapi kini ibu, ayah dan anak-anak dapat bertentang mata hampir setiap masa.

Iklan

Tidak seperti sebelum ini, hendak bersembang pun susah apatah lagi melakukan aktiviti bersama-sama.Mungkin inilah yang dikatakan hikmah di sebalik musibah kerana banyak perkara yang boleh dilakukan sekali gus menjadi peluang memperkukuhkan kembali institusi kekeluargaan.

Namun, di sebalik tumpuan rakyat terarah pada pelaksanaan perintah yang pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia selepas merdeka ini, lain pula cerita didengar di sebelah utara tanah air.

Iklan

Sabtu lalu, Malaysia dikejutkan dengan laporan berita mengenai dua remaja lelaki ditahan atas kesalahan merogol remaja perempuan berusia 15 tahun di dua lokasi berbeza di Kangar, Perlis.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia 15 dan 17 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Wang Besar, Bintong.

Kedua-dua suspek dikatakan masuk ke rumah mangsa di Taman Guru Jaya, Kangar sebelum merogol mangsa yang berusia 15 tahun secara bergilir-gilir di biliknya dalam kejadian jam 2 pagi.

"Kedua-dua suspek pulang selepas merogol remaja perempuan itu sebelum seorang daripada suspek berusia 15 tahun datang semula untuk mengambil mangsa.

"Selepas itu, suspek membawa remaja perempuan itu ke rumahnya di Taman Desa Putra, Bintong sebelum merogol mangsa sekali lagi di dalam bilik suspek,” kata sumber tersebut.

Sumber berkata lagi, mangsa kemudian dihantar pulang semula kira-kira jam 4.40 pagi sebelum hadir membuat laporan polis pada sebelah paginya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew mengesahkan menerima laporan kejadian.

Kedua-dua suspek direman empat hari bermula Jumaat lalu.

Mengucap panjang penulis membacanya, bukan sahaja membaca berita yang tidak sepatutnya berlaku ketika negara berdepan saat genting ini tetapi lebih menyedihkan pelakunya masih terlalu muda!Dalam kes jenayah sebegini bukan sahaja masa depan mangsa yang musnah sebaliknya si pelaku turut menerima nasib yang sama.

Sepatutnya dalam usia sedemikian mereka sibuk memberi tumpuan kepada pelajaran malah salah seorang daripada pelakunya juga bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penghujung tahun ini.

PengajaranMeskipun kisah sebegini bukan pertama kali berlaku dalam negara kita tetapi jadikanlah apa yang berlaku sebagai pedoman atau pengajaran.Ibu bapa tolonglah pantau dan ambil tahu dengan siapa anak-anak bergaul dan apa aktiviti mereka.

Bentuklah mereka menjadi insan yang berguna sebelum terlewat kerana merekalah yang bakal menjadi pewaris kepimpinan pada masa depan.

Kembali kepada kisah PKP, penulis juga ingin menyeru kepada seluruh rakyat di negara ini untuk patuhilah arahan pihak berkuasa untuk duduk di rumah.

Gesaan ini bukan sahaja untuk memastikan keluarga kita tidak dijangkiti pandemik Covid-19 tetapi sebagai tanda sokongan dan hargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

Bantulah mereka untuk pulang menemui keluarga tersayang dengan cara kita mematuhi arahan yang diberikan.

Penulis dengan rendah hati sekali lagi mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk duduk di rumah dan samalah-samalah berdoa semoga wabak yang boleh membawa maut ini segera lenyap.