BANYAK perkara ajaib berlaku sejak kerajaan umum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua minggu lalu.
Antara perkara ajaib itu ialah ramai golongan suami iaitu ketua keluarga dipertanggungjawabkan untuk membeli barangan keperluan.
Sekarang ramai lelaki yang sudah dapat membezakan mana satu halia dan lengkuas termasuk daun sup dan daun ketumbar.
Kalau tidak kerana PKP, memang sampai kiamatlah golongan lelaki tidak akan dapat peluang untuk kenal bahan-bahan penting dalam masakan itu.
Merak Jalanan bukanlah kata semua lelaki begitu, tetapi adalah seorang dua yang tidak tahu.
Yang paling seronok sekarang sudah tentulah golongan isteri. Apa tidaknya, suami bukan sahaja ada 24 jam di rumah selama dua minggu ini, malah dipertanggungjawabkan untuk ke pasar membeli barangan keperluan.
Untuk memastikan suami gembira, maka isteri pula kenalah belajar masakan baharu yang belum pernah dicuba sebelum ini.
Kalau isteri bukan pakar masakan, inilah waktu terbaik belajar memasak. Kalau hari-hari makan telur masak kicap memang muncunglah mulut si suami.
Jadi, inilah waktu terbaik untuk mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan suami, isteri dan anak-anak.
Bagi yang sudah berkahwin, sudah tentulah seronok kerana ada teman tetapi kasihan juga pada yang membujang.
Kalau sudah berminggu-minggu duduk terperap dalam rumah memang boleh jadi sasau, jadi pandai-pandailah urus diri sendiri. Berdoa selepas Covid-19 berakhir nanti supaya dipercepatkan jodoh.
Jadi Merak Jalanan hendak ingatkanlah kepada semua rakyat Malaysia supaya patuhilah arahan kerajaan.
Kalau tidak, kita akan hidup seperti rakyat di Wuhan, China yang tidak dapat keluar rumah langsung. Sekurang-kurangnya di Malaysia kita masih dapat keluar membeli barang keperluan.