SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir Menteri Pertahanan Mohamad Sabu yang menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan PRK Cameron Highlands.
Meskipun Mohamad sudah pun menjawab isu itu iaitu kerana lawatan rasminya sebagai menteri yang dirancang awal, namun Najib berkata, alasan itu masih boleh dipertikaikan.
Ia kerana katanya, pada hari sama juga, Mohamad dilihat hadir ketika proses penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands untuk memberikan sokongan kepada calon PH, M Manogaran dari DAP.
"Sejak bila proses penamaan calon parti DAP sudah menjadi urusan rasmi Kementerian Pertahanan?
"DAP dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) tak nampak? Adakah Mat Sabu akan 'claim' (tuntut) duit minyak untuk helikopter dari (Lim) Kit Siang (Veteran DAP) nanti?," soalnya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Hantaran terbaharu Najib itu dilihat menyindir PH susulan tersebarnya gambar seorang wanita yang memakai baju berlogo PH sedang mengagihkan duit di media sosial.
Semalam, Najib dalam hantaran di laman sosial Facebook miliknya menyatakan bahawa pemberian tidak kira dalam bentuk duit minyak atau duit rokok tetap rasuah berdasarkan pendapat hakim apabila mengumumkan keputusan mahkamah untuk membatalkan kemenangan calon BN di Cameron Highlands pada PRU14.
Bagaimanapun, PH menegaskan wang diagihkan dalam gambar yang tular itu merupakan bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan mereka.
[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Cameron Highlands: Tu duit minyak bukan sogok]
[ARTIKEL BERKAITAN: Najib tanya kaunter claim duit minyak PH kat mana?]
Dalam pada itu, Najib berkata, ketika masih bergelar pembangkang, PH sering menyatakan tindakan itu adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun kini pemimpin mereka pula yang berbuat demikian apabila menjadi kerajaan.
"Sebelum PRU14, DAP dan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) sering menuduh kerajaan BN dahulu menyalahgunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan pilihan raya. Mereka kata ini adalah satu kesalahan di bawah undang-undang SPR.
"Gambar-gambar Menteri Pertahanan menggunakan helikopter kerajaan di Cameron Highlands tular pada hari Sabtu dan menerima pelbagai kritikan orang ramai," katanya.