Sehingga ke hari ini, bekas pemain Arsenal, Bacary Sagna masih mempersoalkan mengenai hala tuju pasukan berkenaan ketika bersetuju melepaskan penyerang Robin Van Persie kepada Manchester United musim 2012 lalu.
Katanya, setelah gagal meyakinkan Van Persie untuk menandatangani kontrak baharu, skuad The Gunners itu kemudiannya merelakan pemergian pemain berkenaan. dengan nilai RM118 juta (£24 juta) dan menyaksikan pemain berkenaan kemudiannya meledak 26 gol bagi membantu skuad The Red Devils itu muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
Menurut Sagna, kehilangan pemain seperti Van Persie turut mempengaruhi mood serta keyakinannya terhadap cabaran skuad dari utara London itu untuk memenangi piala-piala di EPL ketika itu.
"Saya kecewa bukan ketika (Cesc) Fabregas atau (Samir) Nasri meninggalkan Arsenal; tetapi bila (Robin) Van Persie pergi meninggalkan kami.
"Dia (Van Persie) pemain yang berbeza di atas padang. Dia ibarat ‘mesin gol.’ Saya tertanya kenapa Arsenal tidak cuba untuk mengekalkannya (bersama Arsenal).
"Ia bagaikan satu kenyataan daripada kelab. Dia (Van Persie) pergi tanpa dapat difahami oleh sesiapa pun kerana dia berada pada prestasi terbaik,” katanya pada sesi temubual bersama Goal.com baru-baru ini.
Sagna dan Arsenal kemudiannya muncul juara Piala FA Inggeris setelah dua tahun pemergian Van Persie.
Bagaimanapun, skuad The Gunners itu dilihat gagal untuk memenangi lebih banyak piala selepas itu.
Sementara itu Sagna berkata, ia memerlukan masa untuk seseorang pemain itu menyesuaikan diri.
Justeru katanya, jika pengurusan Arsenal (ketika itu) perlu membelanjakan sejumlah wang (untuk menggantikan Van Persie), mereka perlu lakukannya untuk mendapatkannya.
"Saya juga tidak faham mengenai perpindahan Alex Song. Kedua-dua mereka (Song, Van Persie) meninggalkan Arsenal pada masa yang.
"Lebih mendukacitakan, saya mengetahuinya menerusi akhbar ketika di Perancis,” katanya.