Rayzam intai tiket Olimpik

Iklan
Rayzam Syah Wan Sofian (berjersi kuning) bersaing untuk pertandingan 110m lelaki pada Sukan Sea 2019 di Stadium Athlectics di New Clark City. - Foto FAIHAN GHANI / The Star.

JAGUH 110 meter lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian mengakui penangguhan Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan Julai ini ke tahun hadapan membuka peluang buatnya untuk cuba mencuri tiket ke temasya sukan tersebut.

Menurutnya, penangguhan itu membolehkannya bersedia sepenuhnya selain berpeluang untuk menyertai lebih banyak kejohanan dalam usaha meraih tiket ke Olimpik.

Iklan
Iklan

"Penangguhan itu sedikit sebanyak membuka peluang buat saya ke Olimpik tetapi saya perlu melakukan persediaan rapi kerana bukan mudah untuk layak.

"Lagipun, tahun depan ada empat kejohanan besar termasuk kejohanan dunia dan saya perlu berbincang balik dengan jurulatih bagaimana untuk fokus dalam semua kejohanan itu.

Iklan

"Apa pun saya perlu buat yang terbaik dan tidak mensia-siakan peluang yang ada ini,” katanya kepada Sinar Harian,semalam.

Terdahulu, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditangguhkan minggu lalu susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) akan dilangsungkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Iklan

Dalam pada itu, Rayzam Shah turut memberitahu dia tetap menjalani latihan sendiri di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasan.

"Memang keadaan semasa ini sedikit sebanyak menganggu rentak latihan saya sebab tidak boleh ke trek dan tidak boleh berlari dan memperbetulkan teknik larian.

"Tetapi, apa boleh saya buat ialah latihan kecergasan supaya kecergasan saya tidak hilang banyak selain saya juga menjaga pemakanan supaya berat badan tidak naik,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihati masyarakat supaya sentiasa bersama-sama menjaga keselamatan diri dan sentiasa berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalam Pergerakan ini.