ALOR SETAR - Pembantu kedai yang menghina polis di media sosial pada 27 Mac lalu mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini.
Tertuduh, Nursahira Mohd Mizuar, 20, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan, dia akan dikenakan tambahan penjara sebanyak dua bulan lagi.
Mengikut kertas pertuduhan, Nursahira menggunakan laman Facebook profil, Sahira Eyraa secara sedar telah membuat penghantaran komunikasi jelik pada 27 Mac 2020 kira-kira 8.30 malam sehingga 10.12 malam.
Nursahira didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara tidak lebih tempoh satu tahun atau keduanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Aqharie Durranie Aziz.
Pada 28 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita berusia 20 tahun ditahankerana menghina polis di Facebooknya di rumahnya di Pendang kira-kira jam 11.30 malam.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai itu menulis perkataan yang menjelikkan kepada pihak berkuasa selepas diarahkan pulang ketika operasi Covid-19 di Kampung Batu Menunggul, dekat sini pada jam 9 malam.
Menurutnya, polis menerima aduan kira-kira jam 10 malam ada satu status bergambar dimuat naik di Facebook sebelum pihaknya bertindak menahan gadis tersebut.