KUALA TERENGGANU - Usaha seorang lelaki menjual donut pada harga 10 sen sebiji bagi menampung perbelanjaan harian mendapat pujian ramai.
Idham Syafiq Darmilus, 31, memilih untuk menjual donut yang dihasilkan sendiri dengan bergerak menaiki motosikal pada waktu malam di sekitar bandar Kuala Terengganu.
Tidak terlalu fokus kepada keuntungan, bapa kepada empat anak ini menganggap usahanya itu adalah sebahagian daripada amal jariah.
"Memang ramai yang nampak terkejut, iyalah... tahun 2019 masih ada yang jual donut 10 sen.
"Sebenarnya kalau nak cerita pasal untung tu, Insya-ALLAH untung ada, asalkan kita benar-benar ikhlas berniaga.
"Lagipun, donut yang saya buat ini donut mini," katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
Katanya, sengaja dibuat donut bersaiz mini itu untuk memudahkan kanak-kanak menikmatinya dan dapat mengelak pembaziran.
"Saya tahu, kanak-kanak memang suka makan donut, tapi, bila saiz besar tu, ada yang habis ada yang tak habis makan.
"Lagipun tak semua orang senang dan mampu untuk beli makanan pada harga yang mahal," katanya yang baharu memulakan jualan tidak sampai seminggu.
Katanya, dia belajar membuat donut daripada isterinya, Edah Ali, 35.
"Buat masa ini, inilah yang boleh saya buat untuk isi masa terluang sebab Isteri dan anak-anak tinggal bersama keluarga mertua saya di Dungun.
"Di sini, saya bekerja di kedai makan ayah saya, sebab tu malam saya berniaga donut," katanya yang beroleh pulangan jualan sekitar RM20 hingga RM21 semalam.
Sementara itu, sorang pelanggan, Mohd Azahari Yusof,41, kagum dengan usaha Idham Syafiq yang menjual donut pada harga murah.
"Sebenarnya saya macam tak percaya zaman sekarang ada lagi yang jual donut pada harga 10 sen.
"Kalau beli donut dia dalam RM3 memang puas hati dan cukup untuk dua hingga tiga orang makan.
"Saya kagum dengan usaha dan keberanian serta niat baik dia untuk menjual sambil beramal," katanya.