Guru ditahan ugut cederakan ibu sebab nak beli dadah

Iklan
R Sundralingam

PETALING JAYA - Seorang guru ditahan polis kerana mengancam mahu mencederakan ibu kandungnya sendiri dengan parang ketika meminta duit untuk membeli dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, guru lelaki di sebuah sekolah di Klang itu diberkas polis di rumahnya di Sungai Way, di sini.

Iklan
Iklan

"Suspek berusia 21 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 6 petang. Dia ditahan selepas kita terima aduan daripada abang suspek itu sendiri.

"Siasatan awal mendapati suspek telah mengugut ibunya dengan meminta wang untuk membeli dadah sebanyak tiga hingga empat kali sejak awal tahun ini," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut Sundralingam, semakan yang dibuat polis juga mendapati suspek memiliki rekod lampau bersabit kes ugutan jenayah.

Iklan

"Suspek direman empat hari sehingga Khamis untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.