ALOR GAJAH - Seorang pemain bola sepak Kuala Lumpur antara 19 individu yang didenda RM900 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, selepas didapati bersalah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jumaat lalu.
Tertuduh, Abdul Azim Rahim, 23, dan tiga rakannya membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh berkumpul di depan jalan Felda Bukit Bulat, di sini, tanpa sebab munasabah sekitar jam 7.05 malam pada 27 Mac 2020.
Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Zainal mencadangkan hukumkan setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat di luar di saat wabak koronavirus (Covid-19) semakin menular.
Abdul Azim yang memakai topeng muka dan tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan menanggung orang tua yang tidak sihat selain dua adik yang masih belajar.
Ahmad Sazali sebelum menjatuhkan hukuman itu dengan tegas memberitahu bahawa tiada siapa yang perlu berada di mahkamah sekiranya semua orang dapat memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan mematuhi arahan diberikan kerajaan.
Selain mereka, empat warga asing yang ditahan dalam Ops Covid-19 di sekitar daerah ini turut disabitkan atas kesalahan sama dan mahkamah mengarahkan kesemua tertuduh berusia 20 hingga 30 tahun itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Sementara itu, mahkamah turut memerintahkan lapan remaja berusia 15 hingga 17 tahun yang turut ditahan mengikut seksyen yang sama dikenakan bayaran jaminan RM1,000 menunggu laporan akhlak Jabatan kebajikan Masyarakat dan menetapkan sebutan semula pada 13 Mei depan.