Mahu inkues secara adil dan lancar: Mohd Kassim

Iklan
Ibu kepada Allahyarham Muhammad Adib, Asma Aziz menyambut ketibaan Tunku Puteri Intan Safinaz.

ALOR SETAR - Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, berharap inkues yang akan bermula pada Jumaat ini dilakukan secara adil dan berjalan lancar.

Mohd Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, mereka sekeluarga dimaklumkan inkues berkenaan adalah bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka sekeluarga juga reda dengan keputusan kerajaan untuk melakukan inkues demi keadilan buat anak kedua mereka.

"Saya harap keadilan untuk arwah lancar tanpa sebarang masalah atau gangguan dan tiada campur tangan dari mana-mana pihak dan kes selesai dengan cepat,” katanya, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau, pagi tadi.

Iklan

Mohd Kassim berkata, walaupun keluarga sedih dengan kehilangan Muhammad Adib, namun apa yang mereka harapkan kini adalah untuk melihat keadilan dalam pengadilan kes itu.

"Tiada bapa yang akan gembira dengan kejadian seperti itu, kami hanya reda dan harapkan keadilan,” katanya.

Iklan

Terdahulu, Tunku Temenggong Kedah yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan meluangkan masa hampir 30 minit menziarahi keluarga Mohd Kassim bagi menyatakan keprihatinan berhubung insiden menimpa Muhammad Adib.

Pada majlis itu, Tunku Puteri Intan Safinaz turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban dan kesedihan keluarga anggota bomba terbabit.

Hadir sama, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Zahar Abdullah; Ahli Lembaga Amanah YSB, Datuk Nasir Mustafa, serta Pengurus Besar YSB, Misbah Abd Hamid.

Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim memaklumkan pihaknya sudah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian Muhammad Adib dan kertas siasatan itu sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan.

Mahkamah Shah Alam menetapkan 18 Januari ini bagi pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, dengan prosidingnya dijalankan di mahkamah koroner yang bersidang di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.