Tergamak tipu anak dijangkiti Covid-19

Iklan
Tangkap layar pesanan WhatsApp mengenai penipuan dilakukan Ayu yang diterima orang ramai sebelum kes dirujuk kepada LZS.

SHAH ALAM - Seorang wanita sanggup menipu dengan mengatakan anaknya dijangkiti koronavirus (Covid-19) semata-mata bagi meraih simpati dan bantuan kewangan daripada orang ramai.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu kenyataan memaklumkan, Skuad Saidina Umar (SSU) LZS menerima aduan daripada orang awam mengenai seorang wanita dikenali dengan nama Ayu dari Kuala Selangor yang didakwa memerlukan bantuan kewangan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, LZS membuat semakan serta-merta dan mendapati dakwaan wanita itu bahawa anaknya dijangkiti Covid-19 adalah tidak benar.

"LZS telah hubungi wanita itu sendiri, dia mengaku menipu anaknya menghidap Covid-19 dan kononnya berada di hospital kerana ingin meraih simpati orang ramai dengan tujuan mendapatkan wang sahaja.

Iklan

"Sebenarnya wanita ini telah banyak kali menyebarkan WhatsApp berunsur penipuan kepada orang ramai untuk mendapatkan wang walaupun menerima pelbagai bantuan daripada LZS,” menurut kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasmi LZS semalam.

Katanya, pelbagai alasan diberikan wanita itu kepada SSU apabila berkunjung ke rumahnya semalam.

Iklan

Sementara itu, kenyataan tersebut memaklumkan, wanita berkenaan merupakan asnaf fakir di bawah LZS dan menerima bantuan sejak 2007 antaranya bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500, bantuan makanan bulanan (dihantar terus ke rumah), bantuan hari raya (tahunan), bantuan persekolahan dan banyak kali menerima bantuan kecemasan tunai.

Susulan kejadian itu, LZS turut memberitahu bahawa pihaknya berkongsi kes itu kepada pelayar media sosial supaya lebih berhati-hati dan terus merujuk kepada LZS sekiranya menerima kes seumpamanya pada masa akan datang.

"Suami wanita ini bekerja sebagai pemandu lori pasir manakala dia tidak bekerja kerana menguruskan rumah tangga. Suaminya terlibat masalah penyalahgunaan dadah dan baru dibebaskan dari penjara.

"Sikapnya yang suka meminta bantuan menerusi media sosial menyulitkan pihak lain. Pelbagai aduan dan tohmahan diberikan oleh pihak luar kepada institusi zakat, sedangkan kami telah berusaha membantu beliau sekeluarga,” menurut kenyataan itu.