KUANTAN - Seramai 87 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menderma darah bagi menampung kekurangan bekalan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, ATM dan PDRM mengambil maklum isu kekurangan bekalan darah di HTAA beberapa minggu ini berikutan penurunan penderma secara drastik.
"Penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini menyebabkan berlaku penurunan penderma yang drastik. PDRM dan ATM mengambil maklum kekurangan bekalan di negeri ini dan apabila diminta pihak hospital kami siap sedia melakukan derma darah secepat yang boleh.
"Hari ini seramai 87 orang dari kalangan tentera darat, udara dan PDRM Kuantan mendaftar untuk menderma. Jika ada kami mengalu-alukan lagi.
"Inisiatif ini turut dilaksanakan sempena Hari Polis ke-213 di mana anggota dan pegawai berlainan pangkat sama-sama berganding bahu membantu HTAA menangani kekurangan bekalan darah," katanya ketika mengadakan lawatan di Rumah Bakat Markas 4 Bruged (Mekazine) Kem Sri Panching di sini.
Dalam perkembangan lain Abd Jalil berkata, seramai 46 anggota termasuk pegawai PDRM diarahkan kuarantin kerana alami simptom Covid-19.
Menurutnya, daripada jumlah itu tiga daripadanya disahkan positif Covid-19 kerana mempunyai kontak terus dengan pesakit manakala yang lain disyaki berada di lokasi bersabit pesakit positif.
Katanya, orang ramai digesa untuk berada di rumah dan menghadkan pergerakan di lokasi umum tanpa sebab munasabah.