KUALA LUMPUR - Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pelbagai cara dilakukan netizen bagi memenuhi waktu terluang di rumah.
Tidak ketinggalan bagi artis popular, Maya Karin yang bersenam di balkoni rumahnya bersama peminat beliau secara dalam talian.
Selebriti berusia 40 tahun itu menggunakan Instagramnya untuk siaran langsung sesi senaman selama setengah jam pada Rabu dan Sabtu lalu.
Maya berkata, ia bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat kepada pengikutnya walaupun pada waktu sukar kerana pergerakan yang terbatas.
Pelakon itu memulakan sesi memanaskan badan dengan larian yang singkat, diikuti senaman lompat bintang, tekan tubi, lari setempat, planking dan burpees.
Heroin filem Pontianak Harum Sundal Malam itu pada masa yang sama turut menjawab soalan daripada peminat.
Kebanyakan peminatnya kagum dengan kekuatan fizikal Maya dan memuji idea beliau melakukan senaman bersama peminat bagi memanfaatkan masa terluang di rumah.
"Idea terbaik untuk aktiviti berkurung,” kata @BangZuki.
@_zeeraraz pula menulis:"Rajin betul kak Maya bersenam, jaga kesihatan.”
"Lakukannya perlahan-lahan, asalkan anda boleh rasakannya,” jawab beliau kepada peminatnya terutama komen @Farhanabylah yang menulis:"Hahaha masih 15 saat."
Ketika melakukan planking selama satu minit, Maya turut memuji ibunya yang berusia 64 tahun kerana mempunyai kekuatan untuk melakukan planking selama dua minit.
"Saya tidak boleh lawan kekuatan mak saya. Keutamaan keluarga saya ialah amalan kesihatan. Bapa saya masih mendaki gunung,” kata Maya.