KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu membentuk pasukan petugas khas (Tasks Force Team) bagi menyokong syarikat yang memasarkan produk secara dalam talian serta membantu perkembangan pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Terengganu melalui perdagangan elektronik atau e-dagang.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, langkah itu bagi membolehkan penggiat industri menggunakan operasi dalam talian dengan lebih cekap di samping membantu rakyat membuat pembelian barangan harian dengan lebih mudah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.
"Inisiatif ini diambil bagi membantu syarikat-syarikat online marketing dan runner di Terengganu beroperasi. Ia juga bertujuan menyokong kumpulan ini dan membantu perkembangan pendigitalan PKS di Terengganu melalui e-dagang.
"Konsep e-dagang ini berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam tempoh menangani ekonomi yang terjejas akibat Covid-19 dengan menyediakan platform yang lebih baik dan berdaya saing.
"Pendekatan ini dijangka dapat memacu peluang pasaran baru dalam peruncitan, perniagaan asas tani, makanan dan lain-lain di negeri Terengganu," katanya.
Beliau berkata, antara syarikat yang terlibat dalam kerjasama ini adalah TD1303, Top IT Sdn. Bhd, getrunner.my, ganufresh.com, eruncit.my, hunggaexpress (apps) dan beberapa platform dalam talian yang akan dibina bagi tujuan itu.
"Kita juga bekerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dalam menyediakan produk-produk IKS sama ada barang-barang keperluan harian, industri asas tani mahupun makanan agar dapat terus memasarkan produk mereka di pasaran terbuka.
"Usaha-usaha ini dijangka dapat membantu IKS yang terjejas dan kehilangan sumber pendapatan dalam memenuhi tuntutan sepanjang tempoh PKP ini," katanya.