KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai polis dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 24 Mac lalu.
Tertuduh, Muhammad Nur Saddiq Hisham Marzuki, 24, dan Mohamed Nazrin Shah Kamal Bachah, 24, membuat pengakuan itu bagi kedua-dua pertuduhan di hadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Muhammad Nur Saddiq dan Mohamed Nazrin Shah didapati menyamar sebagai anggota polis dan cuba menangkap serta menggari Muhammad Azri Mohammad Azran Chandran, 23.
Kesalahan itu dilakukan Muhammad Nur Saddiq yang bekerja sebagai penarik kereta dan rakannya seorang penganggur di kawasan parkir di Sunway Velocity, Cheras kira-kira jam 10.30 pagi 24 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 dan boleh dipenjarakan selama dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa berada di dalam kawasan tempatan jangkitan tanpa alasan munasabah susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) berikutan PKP di Taman Velocity Cheras ke V Residence Setapak pada jam 11 pagi.
Kedua-duanya didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang dihukum di bawah Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal memandangkan kesalahan menyamar sebagai polis adalah kesalahan serius lebih-lebih lagi ketika pelaksanaan PKP.
"Saya juga memohon hukuman yang akan dijatuhkan itu akan memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam,” katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman terhadap mereka diringankan.
Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Mohamad Aizat menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh bulan terhadap kedua-dua tertuduh bagi kesalahan menyamar sebagai polis.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman empat minggu penjara terhadap kedua-dua rakan itu kerana melanggar arahan PKP dan memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan di Penjara Sungai Buloh bermula dari tarikh ditangkap pada 24 Mac.
Sementara itu, di mahkamah sama, 11 termasuk dua warga tempatan dan sembilan warga asing didenda RM1,000 selepas mengaku salah berjoging di kawasan Sri Hartamas ketika PKP dilaksanakan kira-kira jam 7.15 petang pada 29 Mac lalu.
Kesemua tertuduh melibatkan seorang warga British iaitu Bubb Sacklyn, 28; seorang warga India Vikram Beliappa, 48; tiga warga Korea iaitu Woo Yum Sik, 54; Lee Jong Young, 50 dan Kwang Suk Lee, 51.
Selain itu, empat warga Jepun iaitu Tanakatohishiko, 61; Koichi Itano, 60; Mitsuhiru Takayanagi, 51, dan Taichi Okubo, 36, dan dua warga tempatan iaitu S K Ramani, 56, dan Au Yong Vooi Loon, 31 turut dijatuhi hukuman itu.